APA ITU GANGGUAN SEKSUAL?


Gangguan seksual adalah satu perlakuan lucah yang dibuat dengan sengaja dan tidak dikehendaki, diundang atau diminta dan tidak direlakan oleh mangsa. Gangguan seksual merupakan suatu gangguan dan keadaan yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran waras manusia baik dari segi lisan, fizikal dan juga isyarat seksual. Gangguan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di pejabat, institusi pengajian tinggi atau kawasan perumahan kita sendiri. 

Gangguan seksual ini boleh dikategorikan sebagai suatu bentuk ancaman dan menyebabkan berlakunya persekitaran bekerja yang tidak selesa. Bentuk ancaman gangguan seksual ini boleh dikatakan suatu tingkah laku yang tidak sopan, berunsur seksual yang mana ia dijadikan sebagai satu syarat untuk seseorang itu menerima kenaikan pangkat atau kenaikan gaji dan juga kelebihan dan keistimewaan dalam syarikat. Manakala persekitaran bekerja yang tidak selesa pula di mana tingkah laku dan gerak badan pengganggu ini mengganggu dan menggugat fokus serta produktiviti para mangsa yang terlibat. Ini memberi kesan yang negatif kepada mangsa dan membuatkan mereka merasa tertekan dan terganggu. Akibatnya mangsa gagal memberikan mutu kerja yang terbaik kepada tugas mereka.